Wednesday, March 12, 2003

KM Sabah (Bergilir): Derita Rakyat Sabah Bertambah!!!

KM Sabah Bergilir: Musa Aman Dalam Gelisah!!!

Kata seorang kawan, bosan sudah bicara soal ketua menteri bergilir. Malas sudah mahu beri ulasan. Itu urusan pemimpin UMNO biar mereka yang selesaikan buat apa kita sibok-sibok ganggu urusan politik mereka. Betul juga, bila tilik sekali pandang, pendapat kawan rapat penulis itu. Tapi balas saya, jawatan KM Sabah itu jawatan ketua kerajaan negeri, secara tidak langsung ia berkaitan kepentingan rakyat dan negeri. Bukan itu saja ia juga berhubung rapat dengan undang-undang negeri, politik, ekonomi, kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di negeri ini. Tak mahu difikir-fikir, siapa lagi mahu fikir hal itu. Kata penulis lagi, sekalipun kita ini kelas rakyat bawahan atau marhaen, jangan sampai kita menjadi rakyat buta-tuli dan bodoh macam lembu, sehingga tidak tahu langsung bab politik, undang-undang, ekonomi atau yang berkait dengan kepentingan rakyat dan negeri.

Perdebatan rakyat marhaen, antara penulis dengan sahabat tadi dalam suasana harmoni dan saling terima-menerima kebenaran masing-masing. Kami walaupun berbeza fahaman politik, tidaklah sampai mahu pukul-memukul, sebagaimana terjadi kempen samseng ala UMNO dalam pilihanraya kecil DUN Indera Kayangan tempat bersemayam DS Shahidan Kasim, MB Perlis.

Musa Aman Yang Tidak Aman

Gelisah kerana orang yang melantik dan menunjuknya sedang bercuti. Dia hilang tempat merujuk sebarang perkara dan tidak mungkin dia berani memandai-mandai mengatur negeri ikut suka. Kawannya dalam kem UMNO Sabah, juga dalam kabinet negeri, mungkin tidak semua mahu senyum bersamanya. Walaupun senyumnya lebar sewaktu tiba di Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.

Keluarga Aman dalam politik Sabah sudah lama muncul, sejak zaman parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh sudah ada Datuk Ayub Aman. Kini, muncullah Musa Aman bakal KM bergilir itu yang akan menggantikkan penyandang sekarang, Datuk Chong Kah Kiat yang sedang bercuti sambil membuat lawatan kerja ke Filipina dan China. Mungkinkah Datuk Chong akan bertemu dengan Dr Mahathir yang juga sedang bercuti di luar negara bagi menyusun agenda politik mereka. Sebab Datuk Seri Dr Mahathir juga akan melepaskan jawatannya sebagai PM pada Oktober nanti. Manakala Datuk Chong akan melepaskan jawatan KM bergilirnya pada 27 Mac ini. Kedua-dua sudah ada pemangku, KM Sabah dipangku oleh Datuk Musa Aman yang pasti akan menjawat dan mengangkat sumpah sebagai KM bergilir ketujuh pada 28 Mac.

Sementara, pemangku PM sekarang ialah Datuk Seri Abdullah Badwi, anak Tok Guru di Pulau Pinang, sempatkah Pak Lah sampai ke jawatan PM pada Oktober ini. Masih menjadi teka-teki. Walaupun, penyandang sekarang sudah berulang kali mahu letak jawatan alias bersara. Namun, kita harap-harap Dr Mahathir akan mengotakan janjinya untuk bersara pada Oktober nanti. Harapan kita tidak ada lagi yang akan menangis bila Dr Mahathir benar-benar berundur dan tidak ada lagi budak-budak UMNO, puteri UMNO atau makcik-makcik UMNO menjerit supaya Dr Mahathir tarik balik...........

Penulis kata, Musa Aman berasa tidak aman dengan jawatan yang bakal disandangnya pada 28 Mac nanti, kerana musuh ada disekeliling pinggangnya dalam kelambu UMNO itu sendiri. Sebab itu, Pemangku PM yang juga menjawat Timbalan Presiden UMNO (yang diperolehi secara percuma) telah awal-awal berkata, meminta semua berikan sokongan kepada Musa Aman, dan yang terbaru Menteri Pengguna, Datuk Seri Mahyuddin Yassin yang juga naib Presiden UMNO meminta pimpinan UMNO Sabah beri sokongan kepada Musa dengan ikhlas. Bahkan Datuk SP Lajim Haji Okin, Timbalan Ketua Menteri bergilir (kouta bumiputera Islam) terpaksa membuat kenyataan, bahawa beliau juga memberi sokongan kepada Musa.

Sebelum nama Musa Aman diumum menjadi pengganti jawatan KM bergilir kepada Datuk Chongpun sudah ada cerita kurang enak kepada kem Musa Aman, bila ketua pemuda UMNO negeri, Taufik Titingan mengeluarkan kata dua, bahawa pemuda tidak akan berdiam diri jika ada kumpulan mahu gugat kepimpinan Datuk Musa. Walaupun selepas itu dinafikan beberapa pemimpin UMNO Sabah, tiada krisis dalam UMNO Sabah.

Senyum Musa Aman seperti senyum orang menyimpan seribu satu persoalan dan kebimbangan. Ketika beliau kembali ke Kota Kinabalu selepas membawa berita gembira dalam gelisah, tentang namanya telah terangkat sebagai KM bergilir seterusnya yang diumumkan oleh Presiden UMNO sewaktu mahu berangkat bercuti keluar negara. Di Kota Kinabalu, akhbar tempatan menyiarkan gambar Musa Aman dikalungkan bunga sambil tersenyum dan diapit beberapa pemimpin negeri seperti Timbalan Ketua Menteri (bergilir) kouta Cina, Ketua pemuda UMNO Sabah dan lain-lain. Kita menyoal mana timbalan-timbalan KM (bergilir) yang lain, terutama Datuk Lajim, Datuk Wences Anggang, SU UMNO Datuk Yahya Husin dan lain-lain pemimpin BN negeri.

Seolahnya, pengumuman Datuk Musa Aman sebagai KM (bergilir) seterusnya tidak disambut gembira oleh semua pemimpin UMNO Sabah. Memang ada yang terkecewa dikalangan pimpinan UMNO Sabah. Biasalah orang-orang UMNO. Tetapi, demi kerana mu Mahathir seluruh pimpinan UMNO Sabah terpaksa akur, tunduk dan membisu. Sebab tak berani berkata yang benar. Padahal, kita disuruh berkata benar walaupun pahit di depan raja/ketua yang tidak adil alias zalim.

Kepimpinan Musa Belum Teruji

Musa yang baru dalam politik Sabah, tiba-tiba mendadak naik melangkahi senior politikus UMNO yang lain. Apakah karisma dan kekuatan Musa Aman boleh ditunjuk jadi KM menggantikan Datuk Chong. Mungkin kerana dia Ketua Perhubungan UMNO Sabah dan Menteri Kewangan Negeri. Inikah saja kriteria untuk dipilih sebagai KM Sabah? Atau kerana dia seorang yang rapat dengan pemimpin tertua UMNO di KL atau dia seorang kaki ampu atau dia seorang boleh diatur oleh UMNO KL atau dia seorang jutawan yang boleh beli apa saja yang dia mahu atau dia benar-benar seorang pemimpin berwibawa.

Kerana dia sudah ditunjuk oleh Presiden sebagai KM bergilir, rakyat tidak berhak mahu bantah lagi. Sekalipun rakyat Sabah ada hak membantah pemilihan yang tidak demokratik itu, malah rakyat Sabah melalui DUN Sabah boleh membuat usul tidak percaya ke atas perlantikan Musa Aman sebagai KM bergilir, sebagai mana perlantikan 6 KM bergilir yang lalu rakyat Sabah boleh menuntut bahawa perlantikan 6 KM bergilir itu tidak sah menurut Perlembagaan Negeri, kerana tidak termaktub jawatan KM bergilir itu dalam Perlembagaan Negeri. Malah ia bercanggah dengan Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Negara. Penulis serah isu ini kepada ahli undang-undang untuk memikirkannya.

Kenapa, tidak ada seorangpun ahli undang-undang atau politikus di negeri ini berani membawa kes KM bergilir ke Mahkamah untuk diadili seadil-adilnya. Sebab tiada kepentingan peribadi, semua sudah kenyang. Kalau ramai yang lapar, penulis yakin KM bergilir sudah lama dimansuhkan.

Pemimpin yang ada karisma dan kekuatan sendiri tidak perlu kepada semua itu. Pemimpin berkarisma dan berwibawa tidak naik dengan memijak kawan dan lawan. Inilah pemimpin sebenar yang jarang-jarang lahir dalam mana-mana bangsa. Yang banyak adalah pemimpin tunggul kayu yang ditunjuk dari atas, bukan yang dijulang dari bawah. Tunggul kayu bila orang atas mahu tunggul itu, walaupun ia tunggul tetap jadi.......jadi pagar, jadi kayu, jadi pengampu, jadi macam-macam...... Inilah rupa wajah pemimpin UMNO Sabah yang ada, mungkin bukan Sabah saja yang dibarisi pemimpin 'tunggul kayu' itu, tidak mustahil seluruh kepimpinan UMNO sekarang adalah tunggul-tunggul kayu.

Kita akan lihat sejauh mana kewibawaan Musa Aman dalam kepimpinannya. Mungkinkah dia akan mewarisi gaya pimpinan Datuk Harris Salleh yang membiarkan negeri dihuni PTI bukan saja dari negara jiran Indonesia dan Filipina, tetapi PTI dari Pakistan. Sampai ada warga Pakistan yang mendapat IC dengan beralamatkan di kampung-kampung nun jauh di pedalaman sana di Sabah. Mana lojik, warga luar boleh diberi IC secara mudah asal mengaku lahir di kampung sekian. Tapi dipandang wajah mereka bukan orang Sabah.

Mungkinkah pula dia akan meniru cara Tun Sakaran, Datuk Salleh Tun Said, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri B. Dompok, DSP Osu Sukam atau meniru bulat-bulat cara Datuk Chong. Untuk menjadi macam KM dulu, Datuk Peter Lo, Tun Fuad, Tun Mustapha, Tun Said atau gaya kepimpinan Datuk SP Joseph Pairin, mungkin tidak terdaya. Sebab bukan zamannya.

Siapa KM bergilir selepas Musa Aman, kalau UMNO masih berkuasa di Sabah?

Ibn Sabah,
12.3.2003