Friday, November 14, 2003

Datuk Boleh Dijual Beli

Utusan Malaysia melaporkan dua berita berkenaan dengan penjualan Datuk.


1. Ada penerima anugerah Datuk beri habuan wang - Rais
Oleh: ZULKIFLI JALIL

PULAU PINANG 11 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Rais Yatim mendedahkan terdapat sebahagian penerima anugerah Datuk memperoleh darjah kebesaran itu setelah memberi habuan wang ringgit menerusi `kaki' atau ejen masing-masing.

Tegasnya, perbuatan itu dilakukan dengan alasan menerusi gelaran tersebut, mereka berupaya membuka peluang perniagaan yang lebih besar dan berada dalam `kelas perniagaan' yang tersendiri.

Sambil menyifatkan ia sebagai serius, beliau meminta Menteri-Menteri Besar supaya segera mengatasi gejala itu dengan menyekat kebanjiran penerima anugerah tersebut seperti yang berlaku sekarang.

Katanya, Menteri Besar sebenarnya boleh berperanan menasihati Sultan supaya mengutamakan nilai dan standard penerima menerusi penapisan yang ketat berlandaskan merit perkhidmatan, jasa dan sahsiah tanpa tertakluk kepada `jual-beli'.

``Saya dapat maklumat jelas bahawa dalam kebanyakan kes, anugerah Datuk ini diperoleh setelah diletakkan wang ringgit.

``Ini rasuah sebenarnya, dan kalau dituruti pandangan Perdana Menteri (yang mahukan rasuah dibanteras), amatlah wajar jika ia diberi perhatian oleh Menteri Besar.

``Sungguhpun anugerah Datuk ini diberi oleh Sultan, Menteri-Menteri Besar sebenarnya berhak menasihati Sultan supaya bilangannya (anugerah) tidak dikeluarkan (secara berlebihan) dari apa yang dianggap munasabah serta mencerminkan penapisan yang teliti,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai kebanjiran penerima anugerah kebesaran terutama Datuk yang tidak bernilai dan dilihat sebagai fenomena biasa jika diberikan secara sewenang-wenangnya.

Berdasarkan rekod, pada tahun lepas sahaja, seramai 6,314 orang menerima bintang kebesaran serta pingat daripada 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 531 orang mendapat bintang kebesaran membawa gelaran Datuk dan ia tidak termasuk yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Rais berkata, beliau kadang kala hairan kerana ada kalangan penerima anugerah Datuk didapati tidak ada kena mengena dengan negeri berkenaan malahan ada juga sesetengah penerima terlalu muda serta belum membuktikan jasanya kepada negara.

``Tetapi oleh kerana `sumbangan' wang ringgit dan habuan tertentu, seseorang itu diberikan gelaran.

``Saya khuatir lama kelamaan rosaklah budaya Melayu sebab yang memberikan anugerah inipun adalah pihak berkuasa Melayu,'' katanya.

Rais berkata, gejala dalam pemberian anugerah Datuk juga turut berjangkit kepada mereka yang dikurniakan pingat Jaksa Pendamai (JP).

Katanya, beliau yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan lebih 3,000 JP di seluruh negara untuk beberapa pelantikan sebagai Majistret Kelas Kedua mendapati sebahagian besar penyandang jawatan itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Rais berkata, beliau menyedari pendedahan yang dibangkitkannya mungkin sensitif kepada orang lain, namun ia adalah soal budaya dan nilai yang perlu dihadapi dan difikirkan secara bersama.

Tegas beliau: ``Sebenarnya tidak ada undang-undang yang boleh mengehadkan (jumlah penerima Datuk) kecuali di peringkat Persekutuan yang boleh dihadkan mengikut budi bicara Perdana Menteri.

``Perdana Menteri diyakini akan menyelaraskan penganugerahan ini selaras dengan dasar menghapuskan rasuah yang diamalkan oleh beliau,'' katanya.

2. 10 negeri dikait `jual' Datuk -- Pulau Pinang, Selangor, Johor difahamkan tidak terlibat - Rais
Oleh: ROZILAN SALLEH

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, hanya tiga buah negeri sahaja iaitu Johor, Pulau Pinang dan Selangor difahamkan tidak terlibat dengan `penjualan' darjah kebesaran termasuk yang membawa gelaran Datuk.

Rais berkata, perkara itu diperoleh berdasarkan maklumat yang diserahkan kepadanya.

Bagi 10 lagi negeri, beliau menjelaskan perkara itu diketahui berlaku.

``Yang lain-lain, walaupun tidak semua tetapi diketahui ada terlibat dan telah menjadi pengetahuan umum,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rais diminta mengulas lanjut pendedahannya semalam bahawa terdapat sebahagian penerima anugerah Datuk memberi habuan wang ringgit menerusi `kaki' atau ejen masing-masing.

Menurut Rais, beliau mengetahui bahawa jumlah `yang agak besar' dibayar oleh segelintir pihak untuk mendapatkan anugerah berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan secara terperinci jumlah yang dibayar kepada `kaki' atau ejen berkenaan kerana menurutnya tidak mahu `menjadi punca berita'.

``Ini bukan soal setimpal atau tidak bayaran itu tetapi untuk mendapatkan gelaran itu tidak sewajarnya dengan cara bayaran,'' ujarnya.

Dalam pendedahannya semalam, beliau menegaskan perbuatan itu dilakukan dengan alasan menerusi gelaran berkenaan, mereka berupaya membuka peluang perniagaan yang lebih besar dan berada dalam `kelas perniagaan' yang tersendiri.

Utusan Malaysia melaporkan kebanjiran penerima anugerah kebesaran terutama Datuk yang tidak bernilai dan dilihat sebagai fenomena biasa jika diberikan sewenang-wenangnya.

Berdasarkan rekod, pada tahun lepas sahaja, 6,314 orang menerima bintang kebesaran serta pingat daripada 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 531 orang mendapat bintang kebesaran membawa gelaran Datuk, tidak termasuk yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Rais juga mengakui mungkin ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan kerasnya berhubung isu itu.

Katanya, terdapat pihak yang menghubunginya melalui telefon dan meminta tidak memperbesar-besarkan isu itu yang menurut mereka adalah kuasa kerajaan negeri.

Namun, tegasnya, perkara itu perlu didedahkan bagi memelihara institusi raja-raja daripada lumpuh dan tidak disegani lagi pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan negeri dan raja-raja Melayu mempunyai kuasa dalam menentukan pengurniaan anugerah kepada mana-mana pihak menurut undang-undang, namun perkara itu perlu mengikut garis panduan.

Menurutnya, walaupun tidak disentuh pada mesyuarat Kabinet hari ini tetapi kemungkinan beliau akan membangkitkan perkara itu pada masa akan datang.

Langkah itu bagi membolehkan satu garis panduan berhubung penganugerahan darjah kebesaran diperkenalkan di peringkat Persekutuan sebelum diikuti negeri-negeri, jelasnya.

Beliau memberitahu, soal bukti berhubung pendedahan itu tidak perlu dibangkitkan memandangkan isu berkenaan membabitkan soal kemasyarakatan dan nilai hidup yang perlu dipertahankan untuk menjamin nilai darjah kebesaran berkenaan.

``Kalau perkara ini berleluasa, kita akan bertindak ikut undang-undang,'' katanya.

Beliau turut menyatakan rasa gembiranya dengan kesediaan Kerajaan Kedah untuk mengkaji dan memperkemaskan peraturan pengurniaan anugerah kerajaan negeri seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

No comments: