Thursday, September 11, 2003

Janet wanita pertama Malaysia bawa Boeing

Utusan Malaysia
11-9-2003
Oleh: HERMAN HAMID



KUALA LUMPUR 10 Sept.- Ibu kepada seorang anak, Janet Chen, 45, menjadi juruterbang wanita pertama Malaysia menerbangkan pesawat komersial berenjin jet, Boeing 737-300; milik AirAsia.

Beliau menyertai syarikat penerbangan itu Mei lalu sebagai Pegawai Pertama (First Officer) setelah memulakan kariernya dengan Sabah Air selama 20 tahun.

Janet yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, beliau mendapat latihan penerbangan selama 13 bulan di England sebelum menyertai Sabah Air.

``Semasa dengan Sabah Air saya hanya berpeluang menerbangkan pesawat jenis Beechcraft King Air 12 tempat duduk dengan jawatan terakhir adalah sebagai Kapten.

``Selepas menyertai AirAsia, barulah saya diberi peluang menjawat jawatan pegawai pertama dan ini membolehkan saya menjadi wanita Malaysia pertama menerbangkan pesawat Boeing 737-300,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Janet, walaupun di Malaysia telah ada wanita yang berjaya menjadi juruterbang sama ada pesawat komersial, tentera atau persendirian, namun belum ada yang pernah menerbangkan pesawat Boeing atau yang berenjin jet komersial sepertinya.

``Setidak-tidaknya pencapaian saya telah membuktikan kemampuan wanita Malaysia di dalam bidang yang mencabar walaupun di dalam bidang yang tradisinya dikuasai oleh kaum lelaki.''

Oleh itu beliau tidak menafikan kejayaan yang dikecapinya sekarang adalah hasil peluang serta kepercayaan yang diberikan oleh AirAsia.

``Sepatutnya syarikat penerbangan yang lain perlu mencontohi AirAsia dalam memberikan peluang kepada juruterbang wanita kerana kami juga mampu untuk menjadi seorang juruterbang yang baik setanding lelaki.

``Lagipun sepanjang berkhidmat dengan AirAsia, saya tidak pernah menerima sebarang reaksi negatif daripada penumpang walaupun mereka sedar yang ia dikendalikan oleh juruterbang wanita,'' tegasnya

No comments: