Utusan Malaysia
16 9 2003
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
PERLUMBAAN sulung Tour de Borneo (TdB) pada 21-27 September ini menemui jalan buntu untuk diteruskan angkara masalah kewangan yang dihadapi penganjurnya, Yellow Jersey Sdn Bhd.
Pengumuman mengenai penundaan jelajah lumba basikal itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam tetapi keputusan mengejut penganjur berbuat demikian telah diputuskan lebih awal iaitu pada Sabtu lalu lagi.
Mesyuarat untuk memutuskan penundaan itu dibuat sehari selepas pihak media dipanggil penganjur untuk diberi taklimat mengenai peraturan dan persediaan pada hari Jumaat sebelumnya.
Agak menghairankan pada majlis taklimat itu, pihak media dimaklumkan segala persiapan berjalan lancar dan TdB hanya menunggu masa sahaja untuk dilangsungkan.
Bagaimanapun hanya sehari selepas itu, penganjur terpaksa menundanya di saat akhir kepada satu tarikh yang mungkin selepas berlangsungnya Sukan Sea di Vietnam pada Disember ini.
Dalam kenyataan kepada media, Pengarah Eksekutif Yellow Jersey Sdn Bhd, Zainal Anuar bagaimanapun tidak mendedahkan punca sebenar kepada penundaan itu.
Sebaliknya beliau hanya memberitahu bahawa ia disebabkan oleh masalah yang tidak dijangka.
Tetapi beliau memberi jaminan bahawa perlumbaan itu akan tetap diadakan tahun ini memandangkan banyak perbelanjaan telah dikeluarkan untuk merancangnya.
``Terlalu banyak pelaburan telah kami buat untuk memastikan jelajah ini satu kenyataan dan terbaik.
``Tentunya keputusan ini amat merugikan. Namun memandangkan perlumbaan itu dirancang untuk 2003, ia tetap akan dilangsungkan tahun ini biar apa pun yang berlaku selepas ini,'' tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta maaf di atas segala kesulitan berikutan penundaan di saat akhir ini.
``Bayangkan sudah 19 pasukan mengesahkan penyertaan mereka apatah lagi perlumbaan ini berorentasikan pelancongan untuk Malaysia amnya dan Sabah khasnya.
``Namun penundaannya tidak dapat dielakkan dan bagi pihak Yellow Jersey dan Persatuan Berbasikal Sabah, kami meminta maaf kepada pelumba, sukarelawan dan pihak-pihak yang banyak membantu,'' jelasnya.
TdB yang menawarkan hadiah RM160,000 akan mempunyai tujuh peringkat perlumbaan yang bermula dengan acara kriterium di sekitar pekan Tawau (56km) pada 21 September.
Ini akan diikuti dengan peringkat kedua dari Tawau-Semporna (115.3km), Semporna-Lahad Datu (157.9km), Lahad Datu-Sandakan (173.3km), Sepilok-Kundasang (213.1km), Penampang-Kota Belud-Kota Kinabalu (141.2km) sebelum berakhir dengan satu lagi acara kriterium di sekitar bandar Kota Kinabalu (64.8km).
Sehingga ini, 19 pasukan sudah pun mengesahkan penyertaan dengan 15 daripadanya adalah pasukan kebangsaan dan profesional dari luar negara.
Malaysia sahaja akan diwakili empat pasukan iaitu pasukan Malaysia A, Malaysia B, Majlis Sukan Negara dan Pilihan Sabah.
Tuesday, September 16, 2003
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment